Full width home nuffnang



Selepas berjaya menembusi denyutan nadi rakyat melalui program Sentuhan Kasih, Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan akan melancarkan satu lagi program ‘Kenali Jiran Kita’ melalui Komuniti 1Malaysia (K1M) yang akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi. Program itu adalah bertujuan untuk mengenal pasti tahap sebenar perpaduan antara jiran di kampung/kawasan masing-masing termasuk di kawasan perumahan. Di harap program tersebut akan dapat memperkukuhkan dan mengeratkan perpaduan dan kemesraan di kalangan masyarakat seterusnya mewujudkan negara yang lebih harmoni.

Sebenarnya Kehidupan berjiran adalah suatu budaya hidup yang dituntut oleh Islam. Budaya yang diamalkan oleh kita pada hari ini, iaitu menghormati jiran dan menjaga hak-hak jiran kita. Kita bersyukur kepada Allah kerana mendapat jiran yang baik dengan menghormati kita sebagai jirannya.

Namun demikian ada juga yang malang sebab mendapat jiran yang tidak menjaga hak kita sebagai jiran atau jiran kita pula tidak mendapat jiran yang menjaga haknya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berbuat baiklah kepada jiran yang berjiran denganmu, nescaya engkau menjadi seorang muslim (yang sejati)."

Mengikut definisi jiran adalah orang yang tinggal disekeliling kita, iaitu disebelah, dihadapan dan juga dibelakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati.


Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, "Bimbingan Mukmin" menyatakan beberapa hak dan tanggung jawab yang perlu ditunaikan oleh seseorang terhadap jirannya, antaranya ialah:
  • Hendaklah seseorang itu memulakan memberi salam kepada jirannya.

  • Menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya.

  • Jangan terlalu banyak bertanya tentang hal ehwalnya.

  • Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya.

  • Hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang berlaku pada dirinya.

  • Sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan tutur kata yang baik

  • Bersedia menolong jiran yang ditimpa bencana.

  • Tidak menyakiti hati jiran seperti membuang sampah di pinggir rumahnya

  • Tidak terpengaruh dengan kata-kata untuk memburuk-burukkan jiran. 

Cara-cara mengenali jiran 

Justeru itu, pelbagai langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Aktiviti bersama jiran

Aktiviti bersama jiran juga penting untuk kita merapatkan atau mengeratkan silaturahim bersama jiran. Banyak aktiviti boleh kita lakukan bersama jiran. Contoh aktiviti bersama jiran ialah bergotong-royong, berkelah dan beriadah bersama.

Gotong-royong membersih kawasan kediaman merupakan aktiviti kemasyarakatan. Kita boleh mengadakan aktiviti gotong-royong pada hari minggu untuk mencegah penyakit demam denggi yang dibawa oleh nyamuk aedes bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati. Gotong-royong bukan sahaja dapat mencegah penyakit bahaya malah boleh mengisi masa lapang. Sekiranya terdapat majlis kenduri kendara atau kematian kita harus melapangkan masa bergotong-royong membantu jiran. Pada saat-saat beginilah tenaga jiran-jiran sangat diperlukan.

Aktiviti yang seterusnya ialah berkelah bersama jiran ke air terjun, kawasan pergunungan atau pinggir pantai. Semasa perkelahan, kita boleh bertanya khabar atau berbual-bual tentang latar belakang mereka dengan lebih lanjut. Kita juga boleh menjamu selera bersama untuk merasa masakan daripada keluarga yang berbeza. Dengan itu, kita boleh menghilangkan stress di tempat kerja atau perasaan bosan dengan mengadakan aktiviti perkelahan.

Beriadah bersama-sama jiran di taman juga merupakan salah satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama jiran. Aktiviti beriadah memberi banyak kebaikan. Beriadah dapat menyihatkan badan kita dan menenangkan fikiran di taman yang kehijauan. Kerajaan menggalakkan semua rakyat mengadakan aktiviti beriadah demi melahirkan rakyat yang sihat.

Aku berharap semua orang melakukan aktiviti bersama jiran seperti gotong-royong supaya rakyat Malaysia menjadi orang yang suka bekerjasama, saling bantu membantu dan hidup secara harmoni.

Rumusan

Jiran merupakan orang yang paling dekat dengan kita selain daripada ahli keluarga sendiri. Tanpa erti kejiranan tiadalah erti tolong-menolong, pada waktu itulah dunia ini akan menjadi kelam-kabut. Oleh itulah, kita harus mempertahankan dan memperkenalkan erti kejiranan kepada golongan belia.

Pada era globalisasi ini, jiran yang suka tolong-menolong, baik hati dan murah hati semakin berkurangan. Oleh itu ibu bapa harus menyemaikan nilai-nilai murni seperti baik hati, bertolak ansur, kerjasama dan saling hormat-menghormati dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Kewujudan institusi keluarga yang berharmoni dengan jiran akan melahirkan masyarakat yang harmonis dan seterusnya lahir sebuah negara yang aman damai.

Aku harap pihak kerajaan mengambil langkah dengan mengadakan kempen kejiranan dan menganjurkan aktiviti yang releven untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya semangat kejiranan.


4 comments:

  1. dok kat kl ni...
    memasing dokkkkk je kat dlm rumah tu...
    sampaikan sesetengah tu jiran sendiri tak kenal....

    ReplyDelete
  2. betul.. saya setuju.. tapi ada gak jiran yang tak sensitif dengan persekitaran.. sesuka hati letak kereta lintang pukang.. sampai kita nak lalu pun susah..

    ReplyDelete
  3. anak jiran xpernah nk menegur pun, broommmm22222 mengaum motor mereka

    ReplyDelete
  4. tp, klu dpt jiran yg sker b'karaoke pasang radio giler kuat time kita nk rest esp weekend then, press2 motor vroomm2.. fuh! mmg m'uji kesaboran yg xberapa nk tebal nih. hu3..

    ReplyDelete

Bottom Ad [Post Page]